Selasa, 11 Ogos 2026

faq  contact us  feedback  Peta laman

MTCP - Language Strategies for Conflict Resolution

 LSCR2026 main

Pusat Bahasa dan Diplomasi Budaya (CLCD), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), telah menganjurkan ‘Malaysia Technical Cooperation Programme (MTCP): Language Strategies for Conflict Resolution’ pada 7 hingga 17 Julai 2026 di IDEAS Hotel, Kuala Lumpur.


Program ini dirangka khusus bagi memperkukuh keupayaan peserta dalam aspek komunikasi serta penyelesaian konflik dalam konteks diplomasi dan persekitaran pelbagai budaya. Melalui sesi praktikal yang dijalankan sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada kepentingan penggunaan bahasa sebagai medium bagi meredakan konflik, perundingan, pengantaraan dan keamanan. Para peserta terdiri daripada 15 pegawai kerajaan peringkat pertengahan dari 14 buah negara, iaitu Argentina, Côte D'Ivoire, Eswatini, Ethiopia, Filipina, Indonesia, Kemboja, Myanmar, Romania, Rwanda, South Sudan, Timor-Leste, Uganda and Ukraine.


Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai sesi pembelajaran interaktif yang merangkumi kuliah, perbincangan, dan simulasi. Antara topik yang dipelajari termasuk dasar luar Malaysia, pencegahan konflik, komunikasi diplomatik, rundingan serta pendekatan berasaskan bahasa dalam pengurusan dan penyelesaian konflik. Program ini turut memberi pendedahan kepada para peserta mengenai Visi Penang2030 melalui lawatan sambil belajar ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, struktur pentadbiran awam dan strategi menyelesaikan konflik yang digunakan. Para peserta juga berpeluang mengunjungi beberapa lokasi ikonik di Malaysia bagi meningkatkan pemahaman terhadap sejarah, kepelbagaian budaya serta warisan negara.


Program ini diakhiri dengan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil yang telah berlangsung pada 17 Julai 2026 di Raja Laut Ballroom, IDEAS Hotel Kuala Lumpur. Ambassador Gloria Tiwet, Pengarah Pusat Bahasa dan Diplomasi Budaya (CLCD), IDFR, merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya mengikuti program berkenaan dan menggalakkan para peserta agar terus memperkukuh budaya dialog, semangat saling memahami serta kerjasama dalam usaha menangani konflik di peringkat organisasi, negara dan antarabangsa. Beliau juga telah menekankan kepentingan melaksanakan setiap tanggungjawab secara profesional dengan berteraskan nilai hormat-menghormati, empati serta komunikasi yang berkesan.

                               LSCR2026 1 LSCR2026 2 LSCR2026 3 

 

fbk

twt

int

tk

yt