
Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya (CLCD), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), telah menganjurkan buat julung kalinya kursus *The Confident Leader: Mastering Presence, Poise and Gravitas* pada 2 September 2026 di IDFR, Kuala Lumpur.
Kursus ini menghimpunkan 19 orang pegawai Gred 13 dan 14 daripada pelbagai kementerian serta agensi kerajaan. Program sehari yang berfokus ini bertujuan memperkukuh wibawa kepimpinan, keyakinan profesional, pemikiran strategik serta keupayaan komunikasi peserta. Mereka diberikan input berkenaan aspek utama kepimpinan berkesan, termasuk cara pembawaan diri sebagai pemimpin, keaslian diri, kredibiliti, pengaruh peribadi dan identiti profesional.
Program ini turut meneliti pendekatan pemikiran kritis dan strategik, penggunaan suara (voice) secara berkesan, komunikasi bukan lisan, pengurusan emosi serta keupayaan untuk kekal tenang ketika berhadapan dengan tekanan. Menerusi pembentangan pakar, perkongsian pengalaman profesional, contoh situasi di tempat kerja, perbincangan berpandu dan refleksi, peserta memperoleh perspektif praktikal tentang penerapan prinsip-prinsip tersebut dalam konteks tugas masing-masing.
Kursus ini mencerminkan komitmen berterusan IDFR untuk memperkukuh keupayaan kepimpinan dan komunikasi dalam kalangan pegawai sektor awam. Menerusi pembangunan profesional yang berfokus dan relevan, IDFR berusaha melengkapkan pegawai kanan dengan keupayaan untuk berkomunikasi dengan lebih yakin, jelas dan bermatlamat, di samping memperlihatkan pertimbangan yang matang, ketenangan serta kewibawaan yang diperlukan dalam urusan profesional dan diplomatik.

