
Kursus Analisis Strategik dan Keselamatan (Strategic and Security Analysis Course) telah berjaya dianjurkan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dari 19 hingga 21 Ogos 2026. Program intensif selama tiga hari ini telah mengumpulkan seramai 23 pegawai Gred 9 hingga 12 daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan bagi meningkatkan keupayaan analitik, ketelitian, serta kemahiran membuat keputusan strategik. Melalui pengukuhan kompetensi dalam sektor keselamatan negara, dasar luar, dan pertahanan, kursus ini membekalkan para peserta dengan kerangka kerja praktikal untuk menilai risiko, menjangka perubahan geopolitik, serta mendepani cabaran global yang semakin kompleks dan dinamik.
Kursus ini merangkumi empat modul khusus: Malaysia’s Foreign Policy and Strategic Interests yang disampaikan oleh Dato Westmoreland Palon dari IDFR; Data and Intelligence Analysis yang dibentangkan oleh Pegawai Kerajaan Australia; Tools for Strategic Analysis in Decision Making yang dikendalikan oleh Encik Zakariya Othman, Penasihat Strategik Kanan dan Pakar Pengurusan Risiko; serta Effective Intelligence Reporting yang disampaikan oleh Dato’ Rani Ismail Hadi Ali, Mantan Timbalan Ketua Pengarah I, Jabatan Perdana Menteri.
Sepanjang program, para peserta terlibat secara aktif dalam ceramah serta perbincangan kumpulan untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dasar utama. Mereka turut mengkaji pelbagai metodologi analisis yang inovatif dalam membuat keputusan yang strategik, di samping menilai keupayaan dalaman serta persekitaran risiko luaran. Program ini diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta sebagai pengiktirafan atas kejayaan mereka menyempurnakan kursus tersebut.
Disediakan oleh:
Hanun Insyirah Ishak
Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi
