Ahad, 11 Oktober 2026

faq  contact us  feedback  Peta laman

Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) : Economic Diplomacy Course For International Participants

 MTCPEDC2026 main

Bermula dari 13 hingga 22 Julai 2026, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan Economic Diplomacy Course for International Participants di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). Program ini mengumpulkan 15 diplomat dari 15 negara, iaitu Bahrain, Cuba, Eswatini, Ethiopia, Filipina, Greece, Indonesia, Iraq, Kazakhstan, Kemboja, Laos, Romania, Timor-Leste, Uzbekistan dan Vietnam.


Sepanjang 10 hari program berlangsung, para peserta mendalami peranan diplomasi ekonomi dalam memelihara kepentingan negara, memajukan matlamat dasar luar, serta memacu pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama antarabangsa. Pakar daripada Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memulakan kursus dengan menganalisis perkembangan landskap geoekonomi semasa manakala pegawai-pegawai kanan Wisma Putra berkongsi pandangan mengenai dasar luar Malaysia, strategi ASEAN dan dinamik perdagangan antarabangsa.


Bagi memberi gambaran menyeluruh tentang agenda ekonomi negara, pelbagai sesi taklimat telah disampaikan oleh wakil pelbagai agensi kerajaan dan peneraju industri. Antaranya termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE); Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST); Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia (MOGSC); serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Modul khusus mengenai rundingan antarabangsa, kewangan Islam dan analisis strategik turut diterapkan bagi memantapkan lagi kemahiran analisis para peserta.


Selain sesi latihan di dalam kelas, para peserta menyertai lawatan institusi dan kebudayaan di Putrajaya dan Kuala Lumpur. Antara pengisian utama termasuk sesi taklimat di Wisma Putra, kunjungan ke mercu tanda ikonik seperti Kompleks Perdana Putra, Masjid Putra, Bangunan Sultan Abdul Samad, Pasar Seni dan Menara Berkembar Petronas, serta lawatan ke Muzium dan Kilang Coklat Beryl’s bagi memahami strategi perluasan jenama tempatan ke peringkat antarabangsa. Para peserta juga berpeluang menikmati warisan kulinari tempatan melalui sesi diplomasi makanan bersama Dato’ Chef Ismail.


Kemuncak program ini merupakan lawatan strategik tiga hari ke Pulau Pinang dari 16 hingga 18 Julai 2026 bagi meneliti ekosistem industri negeri yang terkenal sebagai ‘Lembah Silikon Timur’ (Silicon of the East). Para peserta dihos oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk sesi taklimat pembangunan negeri, diikuti perbincangan interaktif bersama InvestPenang mengenai strategi pelaburan langsung asing, pembangunan ekosistem industri dan pemerkasaan tenaga kerja. Lawatan lapangan ke Inari Amertron pula memberi pendedahan terus terhadap pemprosesan berautomasi serta teknologi pembungkusan semikonduktor maju di Malaysia. Sesi di utara Malaysia ini diakhiri dengan lawatan ke Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, Bukit Bendera, The Habitat dan Kampung Agong di Penaga.


Kursus ini melabuhkan tirainya menerusi Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil yang dihadiri oleh perwakilan diplomatik dari kedutaan dan pesuruhjaya tinggi negara-negara peserta di Kuala Lumpur, Ketua-Ketua Pusat IDFR, serta pegawai-pegawai dari Wisma Putra dan IDFR.

                                       MTCPEDC2026 1 MTCPEDC2026 2 MTCPEDC2026 3

Disediakan oleh:
Cik Hanun Insyirah Ishak
Pusat Pengajian Politik dan Diplomasi Ekonomi (PSED)

int

tk

twt

fbk

yt