Rabu, 04 November 2026

faq  contact us  feedback  Peta laman

Symposium on the Malaysian Technical Cooperation Programme: Prosperity Through Partnership

 symposium main

Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), dengan kerjasama Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa, Kementerian Luar Negeri, Malaysia, telah menganjurkan Symposium on the Malaysian Technical Cooperation Programme: Prosperity Through Partnership di Pullman KLCC pada 21 Oktober 2026. Simposium ini menghimpunkan lebih daripada 200 peserta yang terdiri daripada pegawai kerajaan, penggubal dasar, para diplomat, rakan organisasi pembangunan (development partners), wakil badan pemikir dan agensi latihan Malaysia.

Bersempena 46 tahun sumbangan MTCP kepada Kerjasama Selatan-Selatan, simposium ini menyediakan platform untuk meninjau pencapaian program, bertukar pengalaman serta meneroka pendekatan bagi memperkukuh keberkesanan dan kerelevanannya dalam landskap pembangunan global yang semakin kompleks.

Yang Berhormat Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Luar Negeri, Malaysia, telah menyampaikan ucaptama, yang didahului oleh ucapan alu-aluan oleh Dato’ Rus Shazila Osman, Ketua Pengarah IDFR, Kementerian Luar Negeri, Malaysia. Kedua-dua ucapan tersebut menggariskan konteks strategik bagi perbincangan mengenai hala tuju bantuan teknikal dan pembangunan kapasiti.

Simposium ini menampilkan dua sesi perbincangan panel yang melibatkan wakil terkemuka daripada agensi kerajaan, institusi latihan, diplomatik kor dan organisasi pembangunan antarabangsa.

Sesi panel pertama yang bertajuk “Sumbangan dan Pengalaman dalam Kerjasama Teknikal” meninjau pencapaian MTCP serta sumbangannya dalam perkongsian pengalaman pembangunan Malaysia. Perbincangan turut meneliti pengajaran yang diperoleh, cabaran pelaksanaan dan peluang untuk meningkatkan impak jangka panjang program ini.

Sesi yang dikendalikan oleh Puan Jessy Chahal, wartawan penyiaran dan jurulatih komunikasi eksekutif, menampilkan Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid, Pengerusi Pengasas Institut Diplomasi Sains dan Kelestarian Antarabangsa (IISDS), Universiti UCSI; Datuk Dr. Zunika binti Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi, Malaysia; Encik Devrin Jeck, Setiausaha Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa, Kementerian Luar Negeri, Malaysia; serta Encik Nilton Saad, Setiausaha Pertama Kedutaan Republik Demokratik Timor-Leste di Kuala Lumpur.

Sesi panel kedua yang bertajuk “Bantuan Pembangunan dalam Dunia yang Berubah: Peluang, Cabaran dan Pengajaran” meneliti pendekatan rakan antarabangsa dalam menyesuaikan diri dengan perubahan keutamaan pembangunan, transformasi digital dan keperluan pembiayaan yang mampan. Perbincangan ini membuka ruang untuk berkongsi pengalaman praktikal serta meneliti pengajaran yang relevan bagi pembangunan berterusan MTCP.

Sesi yang dikendalikan oleh Puan Tehmina Kaoosji, wartawan penyiaran bebas, menghimpunkan Encik Daisuke Ueda, Ketua Perwakilan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) di Malaysia; Datuk Amer Bukvic, Ketua Pusat Kecemerlangan Bank Pembangunan Islam di Kuala Lumpur; serta Puan Imogen D’Souza, Setiausaha Kedua Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia.

Dato’ Dr. Mohamad Rameez bin Yahaya, Pengarah Pusat Pemerkasaan Kompetensi, telah menyampaikan ucapan penutup dengan merumuskan perkara-perkara yang dibangkitkan sepanjang simposium serta menggariskan hala tuju dan tindakan susulan selepas simposium.

Melalui perkongsian perspektif kebangsaan dan antarabangsa, simposium ini membuka ruang untuk mengenal pasti pengajaran praktikal serta mengemukakan syor berpandangan jauh bagi memandu pembangunan berterusan MTCP.

Menjelang ulang tahun ke-50 MTCP pada tahun 2030, simposium ini menekankan kepentingan memastikan program tersebut terus responsif terhadap keperluan negara rakan yang sentiasa berubah, di samping memaksimumkan sumbangannya kepada pencapaian objektif dasar luar Malaysia.

                                     symposium 1 symposium 2 symposium 3

int

tk

twt

fbk

yt