
Pada 24 September 2026, IDFR menganjurkan Siri Syarahan Kehormat IDFR yang bertajuk, ‘Situation in West Asia: What it Means for Malaysia and the Global Economy’ in Kuala Lumpur’. Syarahan tersebut disampaikan oleh YAM Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra. Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran YMM Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid, Raja Perempuan Kelantan. YBhg. Tan Sri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah menyampaikan Ucapan Alu-Aluan bagi program itu.
Dalam Syarahan Kehormat tersebut, YAM Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra membincangkan tentang implikasi ekonomi terhadap pembangunan di Asia Barat di peringkat global, serantau dan domestik. Beliau memberi penerangan tentang hal ehwal gangguan terhadap laluan utama perkapalan, khususnya Selat Hormuz, yang telah memberi kesan terhadap perbekalan tenaga, perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan global. Hal tersebut telah menyumbang kepada peningkatan inflasi dan kos pengeluaran serta memberi tekanan terhadap pertumbuhan global. Beliau turut menjelaskan bahawa kesannya adalah berbeza bagi setiap negara dan bergantung kepada struktur tenaga dan kerbergantungan masing-masing terhadap bahan api import, di samping menerangkan tentang hubungan rapat antara keselamatan tenaga dengan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui. Bagi Malaysia, perkembangan di Asia Barat telah menyerlahkan pendedahan negara terhadap kejutan tenaga luaran, peningkatan kos bahan api dan tekanan fiskal yang semakin meningkat akibat pemberian subsidi, di samping cabaran struktural yang berpunca daripada kebergantungan tinggi terhadap kenderaan persendirian berkuasa petrol.
Syarahan tersebut turut menyatakan bahawa alternatif seperti kenderaan elektrik, biodiesel, gas asli dan tenaga boleh diperbaharui adalah berpotensi menyumbang kepada peningkatan daya tahan tenaga. Namun begitu, penggunaannya secara meluas masih berdepan dengan pelbagai cabaran dari segi infrastruktur, kos dan pelaksanaan. Dalam jangka masa panjang, pengukuhan kapasiti tenaga boleh diperbaharui serta pembangunan rangkaian rel dan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh dikenal pasti sebagai antara langkah yang berpotensi untuk mengurangkan kebergantungan terhadap minyak import, meningkatkan daya tahan tenaga dan mengurangkan beban fiskal subsidi bahan api.
Syarahan tersebut memberikan perspektif yang berharga mengenai implikasi ekonomi dan strategik yang lebih luas berikutan perkembangan situasi di Asia Barat, khususnya potensi kesannya terhadap keselamatan tenaga, perdagangan dan daya tahan ekonomi. Program tersebut telah dihadiri oleh anggota kor diplomatik, pegawai kementerian dan agensi kerajaan, wakil badan pemikir serta ahli akademik.

