SKOP
Journal of Diplomacy and Foreign Relations (JDFR) merupakan jurnal akses terbuka (OA) yang diindeks dalam Excellence in Research for Australia (ERA). Jurnal ini menyokong perkembangan ilmu menerusi percambahan idea dalam bidang pengajian antarabangsa, diplomasi, dan hubungan luar, di samping memperkukuhkan kajian strategik, keselamatan, dan pembangunan.
Objektif utama JDFR adalah untuk memperkukuhkan martabat ilmu hubungan antarabangsa, dasar luar, dan diplomasi sebagai satu cabang sastera dan sains, baik dalam konteks Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. Jurnal yang ditubuhkan pada tahun 1999 ini menerbitkan artikel ilmiah, artikel perspektif dan ulasan buku di mana kandungan dan pendekatannya menyasarkan para ahli akademik dan penggubal polisi secara meluas. Sehubungan itu, pembacanya terdiri daripada individu dari sektor kerajaan, perniagaan, dan akademik di peringkat tempatan, serantau, mahupun antarabangsa. Sidang Editor daripada Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penerbitan JDFR, yang diterajui oleh Ketua Pengarah IDFR sebagai Ketua Editor.
PENILAIAN SEJAWAT (PEER REVIEW)
Semua artikel penyelidikan yang dihantar ke JDFR akan melalui saringan penyuntingan awal. Artikel yang melepasi saringan tersebut akan dihantar untuk penilaian sejawat nirnama (anonymous peer review). Penulis artikel hendaklah memastikan pembetulan yang dibuat adalah berdasarkan ulasan daripada para penilai.
PROSEDUR PENGHANTARAN
JDFR tidak menerima manuskrip yang telah diterbitkan atau sedang dalam pertimbangan untuk diterbitkan oleh jurnal/penerbit yang lain. Semua penghantaran hendaklah dibuat melalui e-mel ke psedidfr@idfr.gov.my, dan penulis artikel perlu menyertakan profil ringkas masing-masing (tidak melebihi 120 patah perkataan) di dalam e-mel tersebut.
Manuskrip akan disunting dengan memberi penekanan khusus terhadap aspek ketepatan fakta, struktur ayat, kejelasan penyampaian, serta konsistensi kandungan. Draf yang telah disunting akan dihantar kepada penulis artikel untuk kelulusan sebelum pruf akhir dicetak. Penulis artikel diingatkan bahawa sebarang pindaan lanjut tidak lagi dibenarkan setelah pruf akhir dihantar ke pencetak.
Untuk format dan gaya penulisan, sila rujuk JDFR Contributors' Guide 2026.
Untuk templat artikel JDFR, sila rujuk JDFR Template for Articles 2026.
